Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bersama penerima pembiayaan skim Hijrah Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang 2022 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

4,113 usahawan Hijrah dapat modal kembang niaga RM69.01 juta

SHAH ALAM, 13 JULAI: Seramai 4,113 usahawan menerima pembiayaan perniagaan RM69.01 juta daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sepanjang tempoh Januari hingga Jun.

Eksekutif promosinya memaklumkan Petaling Jaya Utara mencatat bilangan penerima tertinggi iaitu 264 peniaga diikuti Sepang (245), Kuala Langat (242) serta Hulu Langat dan Sungai Besar masing-masing 238.

Menurut Mohd Ridhwan Asmara, jumlah pembiayaan itu membabitkan tujuh skim meliputi i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.

Pegawai Promosi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) Mohd Ridhwan Asmara.

“Hijrah sentiasa tekad untuk membantu usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan dengan menyediakan modal bersesuaian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata skim i-Bisnes paling mendapat sambutan berikutan kadar faedah serendah empat peratus sekiranya pinjaman bawah RM30,000 selain dibuka sepanjang tahun untuk semua sektor perniagaan.

“Pinjaman juga mudah diluluskan dengan pemohon hanya perlu menyertakan penyata bank tiga bulan dan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau pihak berkuasa tempatan.

“Jika pinjaman bawah RM5,000 kelulusan dibuat di peringkat cawangan, manakala RM6,000 hingga RM29,000 (zon) dan RM30,000 hingga RM50,000 (ibu pejabat),” katanya lagi.

Sebelum ini, RM120 juta diperuntuk menerusi Belanjawan Selangor 2022 khusus untuk pembiayaan kepada usahawan selain mewujudkan skim baharu bawah Hijrah yang menyediakan pinjaman sehingga RM100,000.

Skim baharu berkenaan adalah i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim yang kesemuanya berfungsi memperkasa usahawan negeri.


Pengarang :