Stadium Shah Alam yang menjadi ikon Selangor perlu menjalani proses baik pulih secara menyeluruh. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Wajar bina semula Stadium Shah Alam ikut trend, bantu negeri jana pendapatan

Oleh Mohd Fariq

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pada zaman prainternet dan media sosial, sumber maklumat dan berita sahih disampaikan menerusi media arus perdana, sama ada media cetak mahupun elektronik.

Banyak kisah balik tabir disembunyikan daripada pengetahuan umum, berbanding hari ini apabila warganet gemar dedah sana, dedah sini.

Begitu juga apa yang berlaku ketika penulis membuat liputan perasmian Stadium Shah Alam yang dibina dengan kos RM460 juta. Dirasmikan pada 16 Julai 1994 dengan kemuncaknya kejohanan jemputan antarabangsa Mitsubishi yang menampilkan Bayern Munich, Flamengo, Leeds United, Dundee United, skuad Olimpik Australia dan Pilihan Selangor.

Selangor menampilkan penjaga gol jemputan Bruce Grobbelaar, mengikat Dundee United 1-1 pada perlawanan pembukaan yang dilewatkan sepak mula gara-gara kesilapan membuat tanda garisan bulat di tengah padang.

Hari ini tentu warganet akan membuat “troll” panjang menyindir situasi sebegini, sebagaimana penyodok sampah digunakan menolak air sebelum perlawanan pra-Piala Asia di antara Malaysia dan Bahrain pada 11 Jun lalu.

Meremang bulu roma penulis berdiri dalam perut Stadium Shah Alam waktu itu. Keseronokan tidak terhingga kerana Stadium Merdeka yang penulis kunjungi sejak kecil hanya memuatkan 40,000 penonton. Bayangkan Stadium Shah Alam dengan kapasiti 100 peratus lebih besar.

Bayern Munich diterajui Giovanni Trapattoni, menampilkan Jean-Pierre Papin, Christian Ziege, Markus Babbel, Dietmar Hamann dan Mehmet Scholl manakala Leeds United membariskan antaranya David O’Leary, Phil Masinga, Gary Speed dan Gordon Strachan.

Namun selepas hampir 30 tahun dilanda hujan panas dan menyaksikan 12 kali final Piala Malaysia (kali terakhir ketika Perak menang pada 2018) diadakan di stadium mercu tanda kebanggaan Selangor, akhirnya kita harus terima hakikat stadium harus diubah suai dan dibangunkan semula.

Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Penulis difahamkan kos untuk membaik pulih Stadium Shah Alam sahaja menelan belanja RM250 juta. Apakah jumlah ini berbaloi untuk sekadar merawat dan bukannya memulihkan?

Maka adalah wajar andainya kawasan kompleks sukan Shah Alam merangkumi Stadium Shah Alam dan Stadium Malawati seluas 155,000m persegi dibangunkan semula mengikut trend terkini dengan mengambil kira keselesaan orang ramai.

Perancangan Kerajaan Negeri berpusat kepada usaha membangunkan stadium bola sepak dengan kapasiti 50,000 penonton sesuai dengan peredaran masa dan memudahkan urusan penyelenggaraan.

Ini mungkin menuntut satu tindakan drastik, termasuk merobohkan fasiliti sedia ada bagi membangunkan semula stadium lebih sesuai dengan tuntutan masa kini.

Singapura, misalnya, mengambil keputusan merobohkan Stadium Nasional di Kallang pada 2010 untuk membangunkan semula sebuah stadium yang kini boleh menganjurkan perlawanan bola sepak, ragbi, kriket dan olahraga serta dilengkapi atap bumbung mudah alih. Pada 2015, Sukan SEA dianjurkan di stadium berkenaan dengan jayanya.

Stadium Wembley yang menjadi kebanggaan warga Inggeris, turut dirobohkan pada 2002 dan dibangunkan semula untuk dibuka pada 2007.

Penulis mengucapkan syabas kepada Kerajaan Selangor bawah pimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari kerana komited membangunkan semula infrastruktur ini sejajar projek Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) oleh kerajaan persekutuan yang dijangka siap pada 2026.

Sekalipun didakwa lewat membaik pulih stadium berkenaan, Amirudin dilihat lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat Selangor di saat warga kota dihimpit inflasi dan kos sara hidup yang meningkat naik.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri menyalurkan dana kepada Selangor FC, selain menghadiahkan rumah kepada 31 anggota skuad Selangor yang menjuarai Piala Malaysia pada 1995, sesuatu yang gagal diselesaikan oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

Kawasan sekitar Kompleks Sukan Shah Alam di Seksyen 13 itu sebenarnya menawarkan prospek komersial. Ia boleh menjana pendapatan buat Kerajaan Negeri andai diurus dengan baik.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di antara Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada 26 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pertama, stadium yang akan dibangunkan semula itu mestilah memiliki nilai estetika yang tinggi, dijenama dan dilakar mengikut tradisi kejayaan bola sepak Selangor dengan memberi penghormatan kepada legenda dari zaman Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Edwin Dutton dan Sexton Lourdes pada 1960-an, disusuli Soh Chin Aun dan Mokhtar Dahari pada 1970 hingga 1980-an, Zainal Abidin Hassan dan Azman Adnan sehingga Brendan Gan yang menjadi simbol generasi terkini.

Galeri atau dewan pemasyhuran yang diletak di luar stadium mestilah dijadikan sebahagian daripada stadium dan biarlah nanti ada kedai menjual barangan Selangor FC agar stadium menjadi tempat kunjungan pelawat dengan diletakkan harga kemasukan sebagai punca pendapatan pengurusan stadium. Biarlah ia menjadi ruang bagi fan experience buat seisi keluarga yang tidak dapat dilupakan.

Pemilihan rumput yang sesuai untuk padang di stadium juga mestilah dibuat dengan teliti, dengan memastikan reka bentuk stadium memberi ruang pencahayaan semula jadi kepada rumput berkenaan, selain sistem saliran dan pengairan bermutu tinggi kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

Dengan atur cara penyelenggaraan terancang, pasti stadium baharu nanti menjadi mercu tanda gemilang buat Selangor.

Selangor sepatutnya mendahului dari aspek infrastruktur dan modal insan tetapi Johor Darul Ta’zim nampaknya jauh lebih pantas menyempurnakan visi ini.

Namun belum terlewat untuk Selangor menaik taraf stadium dan imej sekali gus.

Pengumuman untuk membangunkan semula kompleks sukan Shah Alam dijangka diadakan pada pertengahan Julai ini.

*Tulisan asal terbit dalam portal Flash Sukan. Penulis berpengalaman lebih 25 tahun dalam sukan bola sepak 

 


Pengarang :