Orang ramai menyerbu gerai jualan sempena Festival Bon Odori ke-46 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Bon Odori lubuk rezeki peniaga pakaian tradisi masyarakat Jepun

SHAH ALAM, 17 JULAI: Festival Bon Odori kembali menjadi lubuk rezeki peniaga pakaian tradisional masyarakat Jepun selepas dua tahun tidak dipasarkan secara fizikal ekoran pandemik Covid-19.

Gerai jualan kimono, yukata, haori (jaket) dan obi (tali pinggang) Rohaizam Taib di Kompleks Sukan Negara Shah Alam semalam tidak putus-putus menerima kedatangan pelanggan sejak dibuka jam 4.30 petang.

Pembantunya Hasri Ishak, 53, memaklumkan kira-kira 500 set pakaian tradisional dibawa dari Kuantan, Pahang ke festival terbabit dan dijual pada harga antara RM30 hingga RM70.

Peniaga, Hasri Ishak, 53

“Pelanggan kali ini terlalu ramai berbanding pada tahun-tahun sebelum Covid-19 sehingga kami tidak menang tangan. Ada pelanggan terkejut kerana mendakwa kami jual lebih murah sedangkan harganya sama seperti dulu.

“Cuma kami memberi diskaun sebanyak RM20 kepada pelanggan yang membeli dalam kuantiti banyak termasuk pelajar,” katanya ketika ditemui Selangorkini di sini.

Beliau berkata pakaian tradisional itu turut dijual secara dalam talian selain dipasarkan di festival berkenaan sejak enam tahun lepas.

“Kesemua pakaian ini diperoleh dari Jepun melalui ejen, namun tidak dijual di mana-mana bazar larut malam memandangkan di Malaysia kurang mendapat sambutan melainkan ada festival seperti ini.

“Sebab itu jualan dibuat dalam talian dan penghantaran hanya dibuat sekiranya ada tempahan. Lagipun dia (Rohaizam) turut mengusahakan perniagaan pakaian terpakai lelaki,” katanya menambah jualan fizikal diteruskan di festival sama di Pulau Pinang akhir bulan ini.

Sementara itu, peniaga corndog keju, Grace Low, 40, berkata hampir 500 daripada 700 batang snek berkenaan habis terjual sepanjang enam jam meniaga di festival terbabit.

Peniaga susu pisang kocak menyiapkan tempahan pelanggan ketika Festival Bon Odori ke-46 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Berniaga di sini memang berbaloi dan menguntungkan walaupun corndog dijual hanya RM10 iaitu lebih murah berbanding di ekspo-ekspo makanan lain yang disertai sebelum ini.

“Selain festival dan ekspo makanan, saya juga menjual makanan Korea ini dari rumah sejak dua tahun lepas,” katanya yang datang dari Ipoh, Perak.

Bagi peniaga jeli buah-buahan dan air susu pisang kocak yang mahu dikenali sebagai Marco, 39, Bon Odori adalah platform terbaik mempromosikan produk itu khususnya kepada rakyat Jepun.

Menurutnya, produk berkenaan dibuat daripada buah-buahan segar yang ditanam sendiri di ladang Selangor Fruits Valley (SFV), Batang Berjuntai dan dijual pada harga RM10.

“Di Jepun tiada produk seperti ini, kalau ada sekalipun mereka masukkan bahan lain misalnya air susu pisang kocak dicampurkan dengan tepung dan kacang soya, tetapi kita guna buah-buahan segar serta ditabur kacang mentega.

“Apabila rakyat Jepun merasainya dan memberi maklum balas positif, mereka mungkin boleh bawa produk ini ke sana,” katanya sambil memberitahu lebih 1,000 cawan susu pisang kocak dan jeli terjual dengan 20 peratus keuntungan disalur kepada Persatuan Graduan Jepun di Malaysia (JAGAM).


Pengarang :