EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han beramah mesra dengan penduduk ketika majlis perasmian gelanggang bola keranjang Banting di Kuala Langat pada 18 Julai 2022. Foto Facebook Ng Sze Han
EXCOSELANGOR

EXCO: RM230,000 kerja naik taraf gelanggang bola keranjang Banting

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM230,000 bagi proses menaik taraf gelanggang bola keranjang Banting di Kuala Langat dekat sini.

Perkara tersebut dimaklumkan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han ketika majlis perasmian gelanggang tersebut semalam yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Dato’ Amirul Azizan Abdul Rahim dan Ahli Dewan Negeri Banting Lau Weng San.

“Proses itu membolehkan penduduk setempat menjalankan aktiviti sukan dan kegiatan kemasyarakatan tanpa risau cuaca panas serta hujan,” katanya menerusi Facebook.

Sempena perasmiannya, beliau bersama Amirul Azizan dan Weng San mengambil peluang bermain bola keranjang di gelanggang berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Sze Han turut memaklumkan kerja pembinaan pagar gelanggang bola keranjang Sepang dengan kos sebanyak RM100,000.

Katanya, pembinaan itu adalah bagi melindungi kelengkapan gelanggang seperti diminta penduduk.

“Ia merupakan kali kedua saya jejak ke gelanggang ini dan teruja dengan kemeriahan dibanjiri pemain serta penonton.

“Sudah pasti bola keranjang ini satu acara sukan yang dapat menyatukan penduduk kampung di samping melahirkan sebuah komuniti sihat dan bertenaga,” katanya.


Pengarang :