Para jemaah mengaminkan bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun yang diketuai oleh Imam Satu Masjid Negeri Ahmad Rijal Ghazali sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri pada 29 Julai 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Hijrah ajar ujian bukan jalan mati

Permulaan tahun 1444 Hijrah yang menandakan tahun baharu Islam disambut hari ini bersamaan tarikh 1 Muharam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Awal Muharram (Ma’al Hijrah). Berikut intipati perutusan beliau:

Peristiwa agung Hijrah menjadi titik tolak penting dalam pembentukan awal sebuah ummah yang kemudiannya berkembang ke serata alam menjadi tamadun besar.

Pengkisahan tentang hijrah juga telah menjadi sebahagian pembentukan jati diri dan kesedaran seorang muslim sejak dari kecil lagi.

Secara lumrahnya, seorang kanak-kanak muslim akan disajikan dengan ceritera tentang kesetiaan terhadap perjuangan, keberanian dan semangat setia kawan yang tinggi.

Kita sangat kagum dengan kesetiaan Abu Bakr as-Siddiq, keberanian Ali Abi Talib dan juga semangat setia kawan dan kasih sayang yang tinggi ditunjukkan antara Muhajirin dan Ansar.

Hijrah mengajar kita bahawa mehnah dan tribulasi bukanlah jalan mati dalam perjuangan. Begitu juga kesusahan dan krisis yang kita hadapi harus ditangani dengan cermat dan berstrategi seperti mana yang ditunjukkan oleh baginda Rasullulah SAW dan para sahabat yang merupakan generasi terbaik Islam (khairul ummah).

Usaha dan ikhtiar dengan bersungguh-sungguh bukanlah sia-sia tetapi akan mendapat balasan yang seperti mana yang dijanjikan Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 195:

“…maka orang-orang yang berhijrah, dan yang diusir keluar dari tempat inggalnya, dan juga yang disakiti kerana berada di jalan Allah, dan yang berperang dan yang terbunuh, sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya”

Pada kesempatan ini elok juga kita mengambil peluang untuk memperbaharui azam untuk menjadi muslim terbaik dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi dan terus memberikan sumbangan kepada umat dan negara ini.

Akhir kalam, saya mengucapkan salam Ma’al Hijrah 1444 kepada semua.


Pengarang :