Pengarah Galeri Shah Alam Alina Abdullah bercakap kepada media selepas majlis perasmian Pameran Terbuka Galeri Shah Alam pada 9 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Galeri seni moden rancakkan aktiviti, tarik pelancong

SHAH ALAM, 30 JULAI: Kewujudan Galeri Seni Kontemporari dan Moden Shah Alam (Sama) mampu merancakkan lagi aktiviti kesenian di negeri ini sekali gus menarik pelancong dalam dan luar negara.

Pengarah Galeri Seni Shah Alam Alina Abdullah berkata sebagai penggiat industri, pihaknya menyokong penuh pembinaan galeri terbabit bagi mengangkat lebih banyak karya dan artis seni tempatan.

“Ketika ini Selangor memiliki satu sahaja galeri formal, malah galeri swasta pun tidak banyak. Jadi pembinaan Sama adalah sebagai tambahan kepada galeri sedia ada yang turut menghimpunkan karya moden dan kontemporari.

“Kita sama-sama sokong usaha ini kerana Selangor antara negeri yang mempunyai artis seni paling ramai. Kalau ada banyak lebih meriah dan pengunjung juga tidak hanya bertumpu kepada galeri sedia ada,” katanya ketika dihubungi.

Pada 27 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) berkata pembangunan Sama antara projek pemacu perubahan dikenal pasti di bawah inisiatif kluster pelancongan negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari percaya ramai pelancong akan mengunjungi muzium seni itu sekali gus menyaksikan kehebatan seniman tanah air dan Asia Tenggara.

Menerusi Belanjawan #Selangor 2022, Amirudin turut memaklumkan Kerajaan Negeri membeli sebuah kompleks bangunan milik Bank Negara di tengah bandar raya Shah Alam berharga RM33.4 juta untuk dijadikan galeri yang mempamerkan karya seni dan menjadi pusat aktiviti kebudayaan.

Sebelum ini, EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah menjangkakan galeri berkenaan siap serta dibuka kepada umum selewat-lewatnya tahun depan.


Pengarang :