Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai jualan sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Jualan murah PKPS dalam jelajah bantuan rakyat di Gombak 31 Julai

SHAH ALAM, 25 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengadakan jualan murah barangan keperluan asas dalam Jelajah Selangor Penyayang di Gombak 31 Julai ini.

Program jelajah anjuran Kerajaan Negeri itu akan diadakan di Padang Awam Batu Caves.

“Orang Gombak jom ramai-ramai ke Program Jelajah Selangor Penyayang bertemakan ‘Pendidikan Holistik, Generasi Muda Dinamik’ pada 31 Julai 2022 (Ahad) bermula jam 8 pagi hingga 6.00 petang. Jumpa anda di sana!” kata agensi tersebut menerusi Twitter.

PKPS menawarkan barangan keperluan pada harga murah seperti ayam seekor dengan harga RM15, telor ayam gred B (RM12.50 sepapan), ayam potong RM10 untuk 800 gram (gm) dan RM25 (2kg), tulang RM35 (per kg), daging segar RM35 (per kg) serta ikan kembung dan selayang RM10 (per kg).

Ia adalah siri kelima yang mana sebelum ini diadakan di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat, Stadium Utama Kuala Selangor dan Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Program itu turut diserikan dengan persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat dan pameran.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

 


Pengarang :