Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli ditemu bual Media Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wanita KEADILAN desak elaun cuti bersalin guru Kafa diteruskan

SHAH ALAM, 25 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendesak kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) yang layak diteruskan.

Timbalan ketua wanitanya menyifatkan penangguhan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengikut saranan Kementerian Kewangan (MOF) langkah ke belakang dan mendiskriminasi wanita.

“Tempoh bersalin amat kritikal kerana ia bukan sahaja fasa pemulihan biologi dan reproduktif malah terdapat keperluan asas yang diperlukan dalam menampung perbelanjaan harian.

“Oleh itu, saya menyeru MOF segera meneruskan keputusan untuk memberikan kemudahan cuti bersalin berelaun kepada guru Kafa yang layak dan tidak wajar ditangguhkan,” kata Juwairiya Zulkifli dalam kenyataan.

Wakil rakyat Bukit Melawati menegaskan Dewan Rakyat pada Mac lalu turut meluluskan pindaan untuk memanjangkan cuti bersalin berbayar daripada 60 hari kepada 98 hari.

“Pindaan peruntukan cuti bersalin berbayar ini terpakai kepada semua pekerja wanita yang bersalin dan hak mereka dijamin bawah Akta Kerja 1955,” katanya.

Semalam, Jakim dilapor menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kafa sebagai mematuhi saranan dan pandangan kementerian terlibat.

Tindakan itu berikutan kementerian berpandangan kemudahan tersebut tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru Kafa.

 


Pengarang :