Keadaan halaman rumah kediaman seorang penduduk di Kampung Hangus diselaputi lumpur tebal selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling ketika tinjauan pada 7 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa bah Baling bertambah kepada 591 orang

SHAH ALAM, 8 JULAI: Mangsa banjir yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling, Kedah meningkat kepada 591 berbanding 534 orang setakat 8 pagi ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah memaklumkan seramai 159 mangsa berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, manakala 257 orang di PPS Surau An Nur, lapor Berita Harian.

“PPS Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah di Kupang pula masih kekal menempatkan 130 mangsa banjir terdiri daripada kakitangan sekolah berkenaan.

“Baki 45 lagi mangsa adalah 30 pelajar lelaki dan 15 pelajar perempuan yang masih berada di sekolah terbabit,” kata Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencananya Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff.

Dalam kejadian kepala air Isnin lalu, sebanyak 12 kampung terjejas dan ditenggelami arus deras berikutan hujan hampir tiga jam bermula 2 petang.

Kawasan terkesan antaranya Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi dan Kampung Bendang Padang.

Lokasi lain termasuk Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.


Pengarang :