Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek bercakap ketika Forum Rancangan Selangor Pertama (Ekonomi) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI urus 34 peratus program bawah Rancangan Selangor Pertama

SHAH ALAM, 8 JULAI: Hampir 34 peratus program yang dirangka dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dipertanggungjawab bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan kumpulan anak syarikatnya.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata peratusan itu menunjukkan kepentingan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sesebuah perancangan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Pelaksanaan dalam sesebuah rancangan ekonomi memerlukan kerjasama iaitu GLC memainkan peranan kepada kerajaan dan industri,” kata Norita Mohd Sidek dalam Forum Ekonomi ketika Majlis Simposium Prapelancaran RS-1 di sini semalam.

“Sebagai permulaan semua GLC perlu menilai semula kekuatan perniagaan masing-masing. Mereka kena tahu modul pengurusan, kedudukan dan potensi perniagaan dalam membantu mengukuhkan ekonomi kerajaan.”

Norita turut menyarankan semua GLC bersedia untuk menceburi bidang perniagaan yang belum diterokai umum seperti dron hidrogen, kereta terbang dan ekonomi hijau.

“Untuk tujuan ini, GLC yang mempunyai pengetahuan boleh menggunakannya untuk membuat pelaburan awal untuk bidang baharu ini.

“Apabila projek mula berjalan, kita boleh menjemput sektor swasta untuk proses pecutan dan ini kitaran ekonomi agar sentiasa bergerak pantas,” katanya.

Ekonomi terkandung dalam empat tema utama yang menjadi panduan dalam RS-1 bagi menjayakan agenda Selangor muncul sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.

Selain kelestarian, tema utama berkenaan turut merangkumi aspek sosial, kelestarian dan tadbir urus.


Pengarang :