Anggota Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memasukkan barangan sumbangan banjir ke dalam lori bagi Misi Selangor Penyayang 2.0 di Pejabat Daerah dan Tanah Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Misi pascabah Baling lancar hasil pengalaman PBT urus banjir di Selangor

BALING, 22 JULAI: Misi bantuan pascabanjir dijayakan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor di sini berjalan lancar berbekalkan pengalaman mengurus situasi sama di negeri sendiri akhir tahun lalu.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata penglibatan 50 pegawai dalam dua siri Misi Selangor Penyayang (MSP) membabitkan operasi pembersihan dan agihan bantuan kewangan serta perkakas lain sedikit sebanyak meringankan beban mangsa.

“Alhamdulillah, tiada kekangan dihadapi memandangkan PBT lain di Selangor juga turun padang membawa aset bagi membantu membersihkan rumah mangsa termasuk masjid, surau dan sekolah.

“Kita memiliki pengalaman mengendalikan bencana sama di negeri sendiri akhir tahun lepas. Jadi ia dikongsikan dengan mangsa banjir di sini dan patut diteruskan,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan bantuan MSP 2.0 meliputi wang tunai RM100, tilam, bantal dan selimut kepada 163 mangsa banjir di Surau An Nur di sini, semalam.

Sementara itu, pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata pihaknya tidak bimbang menghadapi sebarang kemungkinan bencana di mana-mana lokasi selepas ini dan sedia menurunkan anggota serta aset.

“Sebab itu pengalaman penting, jika tiada (pengalaman) kita tidak dapat bayangkan apa keperluan di lapangan. Apatah lagi banjir ini melibatkan banyak kategori misalnya di Baling air dari bukit membawa pokok pelbagai saiz.

“Jadi hanya keperluan tertentu boleh selesaikan masalah tersebut seperti ‘chainsaw’, pam tekanan tinggi (waterjet) dan kenderaan besar berbanding di kawasan perbandaran yang tidak melibatkan pokok besar tetapi perlu mengalihkan barang ke tempat lebih selamat dengan segera,” kata Affendei Samingan.

Semalam, MSP 2.0 disertai 150 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) dari 12 PBT, Sukarelawan Selangor dan Team Selangor digerakkan ke Baling, Kedah.

Ia membabitkan bantuan RM30,000 kepada pejabat daerah dan tanah, pemberian wang tunai untuk 400 ketua isi rumah serta kit kebersihan bagi membantu meringankan beban mangsa.

Misi pertama pada 6 Julai disertai 262 anggota PBT dan sukarelawan membantu membersihkan puluhan kediaman mangsa banjir dengan 90 tan sampah pukal dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Pada 4 Julai lalu hujan lebat hampir tiga jam di Baling menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga mangsa.


Pengarang :