Pelajar hadir ke sekolah pada sesi persekolahan secara bersemuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Labuan pada 18 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Empat kejadian wabak jangkitan salur pernafasan dilapor semalam

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Sebanyak empat kejadian wabak jangkitan salur pernafasan dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif wabak setakat ini sebanyak 251, dengan kebanyakan kejadian melibatkan pelajar dan murid sekolah.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan tiga kejadian membabitkan pratadika dan satu institusi pengajian tinggi.

Setakat semalam, Perak mencatat jumlah kejadian tertinggi dengan 48 kejadian, diikuti Selangor (33), Kuala Lumpur (30), Pahang (24), Kedah (23), Johor (16), Pulau Pinang (14), Melaka (13), Terengganu (11) dan Negeri Sembilan – sembilan kejadian.

Perlis pula mencatat lapan kejadian, Sarawak (dua) manakala Sabah dan Labuan, masing-masing tiada kejadian direkodkan.

Sekolah menjadi lokasi kejadian jangkitan tertinggi dengan jumlah kumulatif setakat ini adalah sebanyak 213 kejadian, diikuti pratadika (16), institusi/kolej (10), rumah (enam), pusat jagaan (empat), tempat kerja dan penjara/pusat serenti, masing-masing satu kejadian.

Menurut KKM, tiada kes kematian dilaporkan daripada kesemua 251 kejadian yang dicatatkan itu.

– BERNAMA


Pengarang :