Exco Perumahan Rodziah Ismail (dua, kanan) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Abd Hamid Hussain (kanan) melawat tapak projek yang telah siap selepas majlis Perasmian Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di Putra Perdana, Sepang pada 22 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri peruntuk RM12 juta setahun baik pulih perumahan bertingkat

OLEH NORZILAWATI SIDEK

SEPANG, 22 JULAI: Selangor memperuntuk hampir RM12 juta setahun bagi membaik pulih kemudahan yang rosak di kediaman berstrata.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata Kerajaan Negeri mensasarkan untuk menaik taraf lima perumahan bertingkat setiap tahun.

“Kita baik pulih ruang komuniti dengan harapan penduduk boleh bersosial dengan lebih baik dan kita mahu lihat penggunaan semaksima mungkin teknologi terkini seperti sistem solar.

“Kerajaan Negeri keluar bajet untuk memanfaat kawasan terbiar. Banyak kategori baik pulih antaranya baiki bumbung, tangki air dan selenggara taman,” katanya.

Exco Perumahan Rodziah Ismail (dua, kiri) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Abd. Hamid Hussain (tengah) melawat tapak projek yang telah siap selepas majlis Perasmian Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di Putra Perdana, Sepang pada 22 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Selangor (SDG 11) di Pangsapuri Ruvena Villa, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain.

Tambah Rodziah, pihak berkuasa tempatan itu telah selesai menyiapkan projek naik taraf pangsapuri berkenaan dalam tempoh empat bulan dengan peruntukan RM140,000.

“Alhamdulillah, MPSepang telahpun menyelesaikan tanggungjawab untuk membuat salah satu daripada lima lokasi (naik taraf) yang diluluskan Kerajaan Selangor.

“Kerjasama ini adalah antara Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan PLANMalaysia Selangor untuk kita pastikan kawasan-kawasan yang wajar kita tambah nilai,” katanya.

Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail (dua, kanan) melawat tapak projek yang telah siap selepas majlis Perasmian Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di Putra Perdana, Puchong pada 22 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pangsapuri Ruvena Villa meliputi 22 blok kediaman lima tingkat yang menempatkan 900 unit dengan anggaran 3,500 isi rumah.

Antara penambahbaikan adalah penyediaan alatan taman permainan kanak-kanak, tempat senaman, kolam, wakaf dan tapak refleksologi selain kemudahan lampu solar dan papan tanda.


Pengarang :