AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Lapan daerah di Selangor diramal ribut petir, hujan hingga 8 malam

SHAH ALAM, 22 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 8 malam ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan itu dijangka berlaku di negeri ini di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sepang serta seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Situasi sama diramal di Perak melibatkan Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Pahang (Tanah Tinggi Cameron) serta Johor (Muar, Batu Pahat dan Kluang).

Manakala Sarawak pula di Betong (Pusa, Betong dan Saratok), Sarikei (Pakan), Kapit (Kapit) dan Limbang (Limbang) selain Sabah (Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Beluran) dan Kudat).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :