Graduan menghadiri majlis konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-23 di Pusat Konvensyen KUIS, Kajang pada 1 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permohonan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar dilanjut hingga 31 Julai

SHAH ALAM, 20 JULAI : Tempoh permohonan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar yang dibuka sejak 4 Julai dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.

Ketua penolong setiausaha (dasar) bahagian pengurusan sumber manusia Kerajaan Selangor berkata tarikh tutup permohonan sepatutnya berakhir 15 Julai namun dilanjut berikutan sistem dalam talian mengalami masalah teknikal.

“Bagaimanapun bagi permohonan pinjaman boleh ubah dalam negara pula, tarikh tutup masih kekal sama iaitu sehingga akhir bulan ini juga iaitu pada 31 Julai 2022.

“Setakat ini, kita menerima 100 permohonan lengkap bagi pinjaman boleh ubah dalam negara manakala 1,048 lagi di peringkat draf,” kata Mazhan Mujail kepada SelangorKini.

Beliau mengajak anak Selangor merebut peluang ditawarkan dengan memohon melalui pautan https://tkwbns.selangor.gov.my atau https://danapendidikan.selangor.gov.my

“Kita menyasarkan sebanyak 2,000 permohonan pada tahun ini  berbanding 1,500 yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

“Saya menyeru anak Selangor yang layak manfaatkan peluang kerana uniknya pinjaman ini tiada kadar faedah selain diskaun 50 peratus secara automatik jika memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas,” katanya.

Antara syarat kelayakan adalah pemohon, ibu atau bapa lahir di Selangor selain bermastautin lebih 10 tahun di negeri ini.

Peruntukan dari Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor itu ditawar kepada pelajar peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah perubatan.


Pengarang :