Orang ramai menyaksikan tarian kebudayaan masyarakat Jepun sempena Festival Bon Odori ke-46 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Puluhan ribu pengunjung hadiri Bon Odori, saksi persembahan kebudayaan Jepun

SHAH ALAM, 16 JULAI: Festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam di sini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung.

Tinjauan Selangorkini mendapati kawasan kompleks mula dipenuhi orang ramai sejak 4 petang dengan pemantauan ketat pihak berkuasa.

Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata jumlah kehadiran pengunjung festival edisi ke-46 ini meningkat berbanding kali terakhir dilaksanakan pada 2019 iaitu kira-kira 45,000.

“Alhamdulilah, setelah dua tahun tidak diadakan akibat penularan pandemik Covid-19, sambutan festival kali ini berjalan lancar dan begitu menggalakkan.

“Malah pengunjung dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka. Itu antara salah satu ciri yang diperlukan untuk acara berskala besar,” kata Azrul Shah Mohamad ketika ditemui.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut meluangkan masa kira-kira 30 minit menyaksikan festival kebudayaan masyarakat Jepun.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) diiringi Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko (kiri) di Festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Azrul berkata pemimpin negeri juga mengadakan perbincangan secara tidak rasmi bersama Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.

“Insya-Allah program anjuran Kelab Jepun Kuala Lumpur akan diteruskan lagi tahun depan berdasarkan sambutan diterima,” katanya lagi.

Pada 8 Jun lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya tidak menyekat program Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menitahkan Jais supaya tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadirinya acara itu.

Ia susulan kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mengingatkan umat Islam tidak menyertai program yang bertentangan dengan hukum syarak termasuk festival Bon Odori.

Berikutan itu, Idris dicadangkan supaya menghadiri sendiri ke festival tersebut untuk memahami perbezaan antara aktiviti agama dan budaya.


Pengarang :