Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ribuan pengunjung banjiri Jelajah Selangor Penyayang di Petaling

PETALING JAYA, 24 JULAI: Lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Pelbagai acara menarik diadakan sejak jam 8 pagi tadi hingga 5.30 petang ini antaranya senam seni, lukisan muka, pertunjukan badut, sukan rakyat dan pertandingan solekan ratu sehari.

Penonton turut dihiburkan dengan nyanyian penyanyi terkenal tanah air Hazama dan Ernie Zakri.

Terdapat lebih 40 reruai jualan, selain pameran daripada KDEB Waste Management, Roda Darul Ehsan, Bas Smart Selangor, Iltizam Anak Istimewa Selangor serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Jelajah siri keempat berkenaan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Turut berlangsung, program Selangor Saring bagi mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta bagi memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Sebelum ini, acara sama diadakan di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat dan Stadium Utama Kuala Selangor dengan ketiga-tiganya mendapat sambutan menggalakkan.

Jelajah berkenaan bakal berakhir di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai ini.


Pengarang :