Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Ceramah Mega Jelajah Pakatan Harapan Selangor di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya pada 23 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat diminta nilai prestasi, keupayaan kerajaan HARAPAN di tiga negeri

PETALING JAYA, 24 JULAI: Keupayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir boleh dinilai di tiga negeri bawah gagasan tersebut, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rakyat boleh melihat sendiri pembangunan dan kemajuan yang dicapai kerajaan HARAPAN di Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.

“Tempoh 22 bulan HARAPAN menjadi kerajaan persekutuan tidak boleh dijadikan ukuran sebaliknya rakyat boleh menilai keupayaan gagasan itu di Selangor.

“22 bulan tidak cukup sempurna. Nak lihat kemampuan HARAPAN lihat Selangor, lihat Pulau Pinang dan lihat Negeri Sembilan.

“Kita stabil dengan pembangunan, kemajuan, pelaburan kita paling tinggi. Kita penyumbang terbesar dalam negara, kita jaga rakyat,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor berucap pada Ceramah Mega Jelajah HARAPAN Selangor di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Kota Damansara di sini, malam tadi.

Amirudin berkata kemampuan HARAPAN mentadbir terbukti apabila Selangor menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Kita sumbang 24.8 peratus kurang 0.2 untuk capai 25 peratus. Ini maknanya apa? satu per empat dari pendapatan, hasil dalam negara kita datangnya dari Selangor yang dijaga HARAPAN.

“Ini prestasi berterusan dari 22.7 peratus ketika zaman Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, masuk penggal kedua meningkat lebih 23 peratus. Apabila saya ambil alih pentadbiran pada 2018 kita sumbang 24.1 peratus dan ia terus meningkat,” katanya.


Pengarang :