SHAH ALAM, 4 JULAI: Kenaikan harga barangan asas bermula 1 Julai lalu memberi tekanan kepada pelbagai golongan terutama berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Situasi itu lebih dirasai bagi mereka yang memiliki keluarga ramai kerana terpaksa mengeluarkan belanja berganda demi menampung keperluan semasa, lapor Astro Awani.
Menurut suri rumah Wan Maznah Wan Abdullah, wang RM50 yang dibawanya ke pasar ketika ini hanya mampu membeli dua barang sahaja iaitu ikan dan ayam.
“Sedih sekarang ini, sekarang ini harga barang semuanya naik,” katanya ditemui di Pasar Besar Dungun, Terengganu baru-baru ini.
Penjawat awam Azman Mohd Nor pula berpendapat harga minyak masak berbotol sangat tidak munasabah dan perlu dipantau oleh Kementerian Hal Ehwal Pengguna.
“Harga minyak masak memang betul-betul tidak munasabah. Sebagai pengguna minyak masak ini, memang amat terasalah dengan kenaikan harga yang begitu melambung,” katanya.
Berkuat kuasa 1 Julai, harga siling runcit bagi ayam standard di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram, telur ayam gred A (0.45 sen/biji), gred B (0.43/biji) dan gred C (0.41/biji).
Subsidi minyak masak botol antara satu hingga lima kilogram juga tidak diteruskan dalam tempoh sama tetapi kekal bagi minyak masak paket sekilogram.