Mangsa banjir mengambil barang keperluan sumbangan Kerajaan Negeri Selangor sempena Misi Selangor Penyayang (MSP) 2.0 di Masjid Kampung Sadek, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga emas trauma ketika hujan, risau banjir berlaku lagi

BALING, 23 JULAI: Kesedihan warga emas selepas cucunya hilang tempat tinggal dalam bah besar pada Disember lalu berganda selepas dia juga menjadi mangsa banjir awal bulan ini.

Tajuddin Abdullah, 75, berkata dia bersimpati apabila melihat kediaman cucunya hanya tinggal tapak dan kini dia turut merasai situasi sama meskipun rumahnya teguh berdiri.

“Cucu tinggal di Hulu Langat, Selangor. Banjir teruk jadi rumah hanyut. Hanya tinggal tapak sahaja. Tak sangka nasib sama juga berlaku pada pakcik walaupun tidak seteruk cucu.

Tajuddin Abdullah

“Air naik lebih 1.5 meter dan semua perabot, barang elektrik rosak. Dinding bahagian dapur pecah. Apa pun pakcik anggap ini takdir dan ketentuan,” katanya kepada Selangorkini kelmarin.

Beliau adalah antara mangsa banjir Kampung Sadek yang menerima bantuan daripada Kerajaan Selangor menerusi Misi Selangor Penyayang (MSP) 2.0.

Tajuddin berkata dia masih trauma dengan kejadian yang menimpa sehingga kesihatan terjejas malah menjadi gusar sekiranya hujan.

“Sebelum banjir pakcik aktif. Boleh berjalan, buat kerja tapi sekarang nak berdiri lama pun tidak boleh.

“Bila hujan rasa takut. Risau air naik lagi. Sepanjang 75 tahun tinggal di sini, tak pernah kena banjir macam ini,” katanya.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga mangsa.


Pengarang :