Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima program Iltizam Selangor Sihat (ISS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri tawar bantuan rawatan asas hingga RM500, insurans RM5,000

SHAH ALAM, 23 JULAI: Penduduk negeri ini berpeluang menikmati bantuan rawatan asas termasuk pembiayaan pesakit luar dan vaksinasi sehingga RM500 menerusi program Iltizam Selangor Sihat (ISS).

Dato’ Menteri Besar berkata program perlindungan kesihatan rakyat yang ditambah baik bagi menggantikan skim insurans sedia ada itu turut menawarkan perlindungan insurans sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri turut melaksana program saringan kesihatan percuma, Selangor Saring bagi mengesan penyakit dalam kalangan rakyat diperingkat awal bagi mencegah daripada menjadi lebih teruk.

“Minggu ini, Selangor Saring akan meliputi kawasan DUN Meru, Sementa, Selat Kelang, Kampung Tunku dan Bukit Gasing,” katanya di Facebook hari ini.

Perkongsian video di Facebook turut memaparkan Ahli Penasihat Kesihatan Awam Selangor Dr Mohammad Farhan Rusli mempromosi ISS supaya lebih ramai penduduk cakna dan berpeluang menikmati manfaat program berkenaan.

ISS mula diperkenal pada 2 Julai mensasarkan 100,000 penduduk menerima manfaat membabitkan peruntukan sekitar RM67 juta bawah kluster kesihatan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Selain ISS dan Saring Selangor, beberapa lagi program lain turut terkandung dalam ISP iaitu Skim Rawatan Jantung, Bantuan Sihat Selangor, Saringan Barah, Nutrisi Makanan Kanak-kanak, Cakna Kesihatan Mental, Rawatan Tuberculosis, Pemeriksaan Kesihatan Mata dan Skim Kesihatan Wanita.

Bagi menjayakan Selangor Saring, sejumlah RM3.4 juta disalurkan yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khususnya individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, barah servik, payu dara dan prostat selain ujian darah najis okulta atau kolorektal.


Pengarang :