Foto Facebook GSC
AGENDANASIONAL

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa kutip RM6 juta

SHAH ALAM, 28 OGOS: Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa mencatat jumlah kutipan RM6 juta dalam tempoh tiga hari tayangan di negara ini.

Perkara itu diumumkan melalui akaun Instagram (IG) rasmi filem aksi ketenteraan Malaysia itu, malam tadi, lapor Berita Harian.

“Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berjaya mengutip RM6 juta dalam tiga hari tayangan. Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong filem ini,” menurut kenyataan itu.

Filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See dipersembahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo.

Filem mengisahkan Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh, turut ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei sejak Khamis lalu.


Pengarang :