Sukarelawan Team Selangor Kamarul Hafiz sedang menyusun barang keperluan asas yang akan diagihkan kepada penduduk ketika program Bingkas anjuran DUN Bukit Lanjan di Dewan Desa Temuan, Petaling Jaya. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Hampir 21,000 dapat manfaat Bingkas, RS-1 bantu hidup lebih mampan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentang 27 Julai lalu memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini sekali gus menjamin kehidupan lebih mampan.

Antara yang terkandung dalam kerangka pembangunan lima tahun itu ialah hampir 21,000 penduduk kurang mampu menerima RM300 menerusi Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

EXCO industri dan perdagangan berkata bantuan bagi membeli keperluan asas membabitkan peruntukan RM6.3 juta, yang diagih menerusi e-dompet Wavpay antara 1 hingga 28 Julai.

“Pembayaran kepada 282 orang masih dalam proses penyemakan semula maklumat berkaitan kad pengenalan dan nombor telefon,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika menggulungkan perbahasan RS-1 dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Isnin lalu.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim
menjawab soalan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau turut memaklumkan pelan itu membolehkan lebih banyak syarikat pemula berstatus “soonicorn” diiktiraf sebagai “unicorn” menerusi Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

(Soonicorn, atau “soon to be unicorn”, merujuk syarikat pemula bernilai AS$100 juta, manakala “unicorn” syarikat pemula yang tidak tersenarai di bursa tetapi bernilai lebih AS$1 bilion).

Jelasnya, inisiatif sejak 2016 akan membentuk rangka kerja lebih baik susulan pertemuan pemain industri, ahli akademik, pengusaha kecil dan sederhana selain sektor kerajaan dan swasta.

Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang menambah negeri juga akan terus memberi sokongan termasuk pembiayaan dan penerangan dasar serta peranan agensi yang bertindak mengembangkan ekosistem.

“Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa program yang membantu syarikat pemula berkembang akan dilaksanakan secara konsisten,” katanya lagi.

Sementara itu, Chang Khim memaklumkan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) bakal menjayakan 10 projek pembangunan termasuk enam pembangunan di Kuala Langat dan Sepang yang dirancang dalam segi tiga emas Selangor (SGT) sebelum ini.

Ia meliputi projek Selangor Business Capital, Sepang Gold Coast Global Village, Sepang Aeropark, Guocoland Emerald Sepang, Putrajaya Holding, dan NCT Smart Industrial & Business Park.


Pengarang :