Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyantuni kanak-kanak selepas menyempurnakan majlis penutup Karnival Kuala Selangor 2022 di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor pada 7 Ogos 2022. FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Karnival Kuala Selangor medan terbaik promosi produk pelancongan baharu

KUALA SELANGOR, 8 OGOS: Karnival Kuala Selangor 2022 yang melabuhkan tirai malam tadi menjadi medan terbaik bagi mempromosi produk pelancongan baharu di daerah terbabit.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata produk pelancongan itu antaranya Hussin Fauzi Farm di Teluk Penyamun, Niilofar Mini Zoo di Pantai Remis, Train d’Sawah dan Trem Chelurut.

Menurut Rahilah Rahmat, lokasi lain meliputi Chelurut Walk di Tanjung Karang, Kampung Pelangi di Kampung Bukit Hijau, Fun Ride All Terrain Vehicle (ATV) Sawah Sempadan dan TK Coconut Farm Ville.

“Terdapat juga inap desa tepi sawah yang cantik dan menarik di Tanjung Karang serta sesuai untuk bercuti pada hujung minggu. Malah saya dimaklumkan ia habis ditempah sehingga akhir tahun ini,” katanya dalam sembah ucapan sempena majlis perasmian penutup karnival itu malam tadi.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan majlis penutup Karnival Kuala Selangor 2022 di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor pada 7 Ogos 2022. FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan majlis penutup karnival selama tiga hari di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam dekat sini.

Dalam pada itu, Rahilah berkata karnival bermula sejak 5 Ogos menawarkan pelbagai acara di tujuh lokasi berbeza selain menarik kunjungan hampir 10,000 orang.

“Memandangkan Jelajah Selangor Penyayang peringkat daerah Kuala Selangor baru-baru ini menampilkan kluster kesihatan, maka MPKS turut mengadakan aktiviti berkaitan kesihatan siang tadi (semalam),” katanya.

Berikut lokasi dan acara disediakan sepanjang karnival:

  • Dataran Malawati – Forum perdana, pertandingan hafazan cilik dan mewarna, pesta laluan seni, kendera saji, pameran sejarah dan sayembara puisi
  • Inap Desa Sungai Sireh – Pertandingan gubahan buah, tarian tradisional, jaguh kampung dan cabutan bertuah
  • Taman Alam – Fun Walk, program tanam pokok dan benih
  • Pantai Remis – Pesta buah-buahan tempatan
  • Kompleks Sukan Kuala Selangor – Bola jaring, sepak penalti, bola tampar, tarik tali serta ‘meet and greet’
  • Santuari Kelip-Kelip – Pertandingan bercerita, lukisan dan arca, pesta udang galah serta cabutan bertuah
  • Eco Grandeur – Pameran, saringan kesihatan, derma darah, persembahan bunga api, cabutan bertuah dan persembahan artis

Pengarang :