Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang Jalur Gemilang sekitar Dataran Shah Alam sempena sambuntan Hari Kebangsaan pada 19 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pelawa orang ramai sambut Hari Kebangsaan di Dataran Shah Alam

SHAH ALAM, 29 OGOS: Dato’ Menteri Besar mempelawa penduduk Selangor dan Lembah Klang hadir ke sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program berlangsung di Dataran Shah Alam itu menawarkan pelbagai acara menarik antaranya perbarisan dan persembahan artis.

“Kita juga akan umumkan tokoh merdeka yang dihargai Kerajaan Negeri. Datang beramai-ramai ke dataran mulai 4.30 petang hingga 12 malam.

“Marilah bersatu hati sempena Hari Kemerdekaan ke-65 ini,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Bulan Falak Selangor 2022 anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor di Hotel De Palma di sini hari ini.

Dalam sambutan itu, Amirudin dijangka mengumumkan berita gembira untuk warga Selangor bagi membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi dan inflasi.

Selain itu, penyanyi terkenal Black Hanifah dan Ernie Zakri antara selebriti yang bakal memeriahkan program disamping beberapa persembahan lain antaranya tarian pelbagai bangsa dan nyanyian koir.

Turut diadakan persembahan kawad senyap dan tempur tanpa senjata, perarakan Anak Harapan Selangor, pertunjukan bunga api serta jualan makanan.

Program selawat dan munajat pimpinan Habib Ali Zaenal Abidin turut diadakan jam 4.45 petang.

Tahun ini, Selangor memilih tema Kita Selangor Teguh Bersama yang membawa maksud kebersamaan dan keberanian rakyat di pelbagai peringkat dalam menghadapi cabaran melanda.

 


Pengarang :