Pengunjung terdiri daripada pelbagai bangsa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Terminal Bas Bandar Melawati, Kuala Selangor pada 20 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pelan ekonomi negeri dirancang teliti, saksama agih manfaat

SHAH ALAM, 17 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dibentuk dengan perancangan khusus yang mempunyai alat pengukur jelas serta boleh dinilai dalam tempoh lima tahun.

Menurut Angkatan Muda KEADILAN cabang Pandan, pelan tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Selangor membangunkan negeri secara ‘buta warna’ tanpa meminggirkan mana-mana etnik.

“Rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang layak mendapatkan segala inisiatif dan perkhidmatan yang dijanjikan dalam RS-1. Perkara ini secara jelas menunjukkan semangat kesaksamaan sekali lagi dijunjung sebagai teras RS-1,” kata Ketua Penerangannya Mohd Fauzi Fadzil dalam kenyataan.

Jelasnya, tujuh program yang dirancang khusus untuk memperkasa belia, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) membuktikan pelan itu merealisasi semangat perjuangan KEADILAN.

Selain itu, katanya, RS-1 menjadi penanda aras terbaharu kepada Kerajaan Selangor dan tiada negeri lain yang berusaha membawa idea tersebut dalam pentadbiran mereka.

“RS-1 boleh menjadi pedang bermata dua kepada pentadbiran negeri, penanda aras yang sangat khusus diberikan kepada setiap sektor pembangunan akan diperhatikan oleh kawan dalam lawan,” katanya.

“Kegagalan pentadbiran negeri mencapai setiap penanda aras yang ditetapkan bakal mengundang serangan, namun pujian harus diberikan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atas kesediaan beliau menerima serangan tersebut (jika gagal).”

Mohd Fauzi turut mengingatkan Kerajaan Negeri mengambil iktibar terhadap kegagalan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) berikutan kurangnya autonomi untuk melaksanakan projek yang dirancang.

“Justeru, RS-1 perlu mengambil iktibar dan cuba memberikan autonomi dan kuasa perlaksanaan kepada pihak berkuasa tempatan untuk bersama menyumbang kepada pelaksanaan inisiatif,” jelasnya.

 


Pengarang :