Hairul Anuar dan Rozana Sulaiman menerima ijazah anak mereka Allahyarham Muhammad Hazirul Ariq pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) kali ke-25 di Bandar Seri Putra, Kajang pada 16 Ogos 2022. Foto KUIS
AGENSISELANGOR

Ibu bapa terharu terima ijazah arwah anak dalam sesi khas konvo

SHAH ALAM, 17 OGOS: Tiada kata mampu diluahkan pasangan suami isteri, Hairul Anuar dan Rozana Sulaiman apabila Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) memberi penghormatan menerima ijazah anak mereka yang meninggal dunia setahun lalu.

Mereka dijemput menghadiri Majlis Konvokesyen Kuis kali ke-25 di Bandar Seri Putra, Kajang semalam bagi meraikan acara bersejarah buat Allahyarham Muhammad Hazirul Ariq, 25.

Menerusi kenyataan dikongsi Kuis, Hairul dan Rozana tidak menyangka pihak universiti mengadakan sesi khas buat anak mereka.

“Terima kasih Kuis di atas jemputan ke majlis konvokesyen hari ini (semalam) dan ia akan menjadi kenangan indah buat kami sekeluarga.

“Pemergian arwah (Muhammad Hazirul) merupakan satu kehilangan sangat besar tetapi kami redha dengan apa yang berlaku. Ini adalah ketentuan Allah,” kata Rozana sambil mengakui masih tidak kuat meskipun sudah setahun anaknya mengadap Ilahi.

Kuis dalam kenyataan sama turut mengucapkan takziah dan semoga Allah memberi ganjaran terbaik buat keluarga terbabit di samping tabah berdepan dugaan.

Muhammad Hazirul, graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Perbankan) meninggal dunia 21 Julai tahun lalu berikutan kemalangan motosikal bertembung dengan lori di kilometer (KM) 452.9 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus).


Pengarang :