SHAH ALAM, 12 OGOS: Sejumlah RM14 juta diperuntuk bagi melaksanakan pelbagai projek mengurangkan risiko banjir di Kuala Selangor tahun ini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati.
Juwairiya Zulkifli berkata RM10 juta diberikan kerajaan persekutuan manakala selebihnya oleh Kerajaan Negeri membabitkan baik pulih tebing, pendalaman sungai dan penyelenggaraan perparitan.
Beliau memaklumkan antara kampung yang sering dilanda banjir kilat ialah Kampung Tanjung Siam, Kampung Bukit Kuching dan Kampung Asahan selain kes terpencil di Assam Jawa.
“Kuala Selangor adalah daerah yang sentiasa mengalami banjir hujung tahun ketika musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar.
“Kita akan terus memantau keadaan di kawasan berisiko dan buat kerja-kerja baik pulih sebagai persediaan untuk mengurangkan risiko banjir,” katanya pada 5 Ogos.
Dalam insiden banjir tahun lalu, lebih 5,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air.
Fenomena air termenung yang hanya surut selepas 12 hari di kawasan itu berbanding tiga hari di tempat lain antara cabaran Juwairiya dan pasukannya bagi menyelaras bantuan untuk meringankan beban mangsa.
Beliau yang juga setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar mengambil inisiatif membuka PPS termasuk di Stadium Tertutup Kuala Selangor yang awalnya tidak digazet sebagai pusat pemindahan.