AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Ribut petir, hujan diramal landa enam daerah di Selangor hingga 6 petang

SHAH ALAM, 12 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 6 petang ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan itu dijangka berlaku di negeri ini di daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat serta seluruh Kuala Lumpur.

Situasi sama diramal di Perak melibatkan Batang Padang dan Muallim; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong), Negeri Sembilan (Jelebu dan Seremban) serta Johor (Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Manakala di Sarawak adalah Betong selain Sabah (Pedalaman (Beaufort dan Tambunan) dan Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :