Keadaan Sungai Klang yang semakin bersih setelah lebih 75,000 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan sejak 2016. Foto ihsan Landasan Lumayan Sdn Bhd
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RS-1: Landasan Lumayan komited pastikan Selangor capai sasaran ditetapkan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) komited untuk memastikan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) berjaya memartabatkan Selangor dari segi ekonomi, sosial, tadbir urus dan kemampanan.

Syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu dalam kenyataan memaklumkan hasrat untuk memainkan peranan sewajarnya seperti yang ditetapkan Dato’ Menteri Besar di bawah RS-1.

“Di bawah RS-1 LLSB diberi peranan untuk menerajui pembangunan infrastruktur dan sosio ekonomi di Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG) yang dikenal pasti sebagai salah satu daripada koridor ekonomi.

“Ia bertujuan meningkatkan pelaburan terhadap projek infrastruktur bagi menangani isu banjir dan bekalan air di Pulau Indah serta memulihara alam sekitar menerusi pembersihan Sungai Klang,” katanya.

Justeru, menurut LLSB memandangkan ZPE SMG akan memberi fokus utama terhadap bidang berkenaan di Lembah Klang, ia akan menjadi salah satu penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor.

“LLSB akan berusaha memastikan ZPE SMG membantu Kerajaan Negeri mencapai objektif RS-1 iaitu menjadikan Selangor sebagai penyumbang sekurang-kurangnya 30 peratus terhadap KDNK negara menjelang 2025,” katanya.

Ketika pembentangan RS-1, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sudah mengenal pasti beberapa wilayah yang akan dibangunkan melalui rancangan pembangunan berasaskan pelan pembangunan wilayah.

Pelan Pembangunan Wilayah (Klusterisasi) ini termasuklah Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS), Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan ZPE SMG.


Pengarang :