Sebahagian peserta dengan hadiah dimenangi dalam pertandingan terbesar sukan papan selaju Grind 8 anjuran Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor di Extreme Park, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto PEMADAM SELANGOR
AGENSISELANGOR

1,000 pengunjung termasuk peserta luar meriahkan papan selaju Pemadam Selangor

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pertandingan terbesar sukan papan selaju Grind 8 anjuran Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor di Extreme Park, Seksyen 13 di sini Sabtu lalu mendapat sambutan peserta tempatan dan antarabangsa.

Dalam kenyataannya, persatuan itu memaklumkan program dijayakan dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Papan Selaju dihadiri kira-kira 1,000 pengunjung termasuk peserta daripada Indonesia, Filipina dan Singapura.

“Objektif program adalah memberi pendedahan kepada golongan millenial (generasi Y) mengenai peranan Pemadam dalam mencegah DARVIH (Dadah Alkohol Rokok Vape Inhalan HIV/Aids) serta menyebar luas kempen Generasi Penamat (GEG) diperkenalkan Kementerian Kesihatan.

“Melalui pengisian pertandingan papan selaju ini kita mempromosikan aktiviti gaya hidup sihat dan menjauhi penyalahgunaan dadah,” katanya.

Menurutnya, semoga program seperti itu diiktiraf bagi menarik minat anak muda terlibat secara aktif hingga ke peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama negara.

Acara kemuncak program adalah penyampaian hadiah disempurnakan Setiausaha Kehormat Pemadam Selangor Farhan Ahmad Kamal.


Pengarang :