Orang ramai mendapatkan pelbagai barangan asas sempena Jualan Ehsan Rakyat di Kampung Kemensah, Gombak pada 15 September 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

300 ayam terjual dalam sejam di jualan murah PKPS Kampung Kemensah

GOMBAK, 15 SEPT: Sebanyak 300 ekor ayam habis terjual dalam tempoh sejam pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Kampung Kemensah, Hulu Kelang hari ini.

Barang basah itu mendapat sambutan orang ramai khususnya penduduk sekitar berikutan dijual pada harga RM10 seekor, lebih rendah berbanding pasaran luar.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengakui jualan murah barangan asas mendapat permintaan tinggi penduduk di negeri ini.

“Memang tidak dinafikan ada lokasi JER yang meminta PKPS supaya menambah stok barangan asas kerana cepat habis.

“Buat masa ini kita masih selaraskan setiap lori akan membawa 300 unit bagi setiap produk utama iaitu ayam, daging, ikan kembung, telur, beras dan minyak masak ke lokasi JER,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Orang ramai mendapatkan pelbagai barangan asas sempena Jualan Ehsan Rakyat di Kampung Kemensah, Gombak pada 15 September 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Beliau turut memaklumkan program jualan yang bermula 6 September lalu diadakan di sembilan lokasi pada setiap Selasa hingga Ahad.

“Secara puratanya, trak jualan akan menjelajah ke 54 lokasi di seluruh Selangor setiap minggu hingga Disember depan,” katanya.

Terdahulu, tinjauan di lokasi mendapati orang ramai beratur seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan barangan makanan meskipun jualan bermula 9 pagi.

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan JER yang dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut menawarkan harga makanan asas pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.


Pengarang :