Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis) komited memperkasakan pendidikan kanak-kanak kelainan upaya dengan menubuhkan Pusat Prasekolah Khas Anis di Seksyen 7, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

AnIS pelawa ibu bapa luang masa dua jam buat saringan secara percuma

SHAH ALAM, 9 SEPT: Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS) mempelawa ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas meluang masa dua jam bagi melakukan saringan awal secara percuma.

Agensi itu memaklumkan program saringan itu khusus bagi kanak-kanak yang tidak pernah melalui sebarang saringan serta tidak pernah menerima rujukan daripada doktor pakar.

“Rumusan laporan oleh sekumpulan pakar pelbagai bidang seperti ‘occupational therapy’, ‘speech therapy’ dan doktor akan diberikan kepada ibu bapa bagi tindakan selanjutnya.

“Tujuan utama saringan awal adalah untuk membantu ibu bapa mengenal pasti tahap perkembangan anak serta merancang intervensi awal kepada anak yang kelainan upaya,” katanya di Facebook.

Permohonan hendaklah dibuat secara atas talian di laman sesawang https://www.anisselangor.com/daftarsaringan

Dato’ Menteri Besar sebelum ini memaklumkan sebanyak RM3 juta diperuntuk bagi melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi AnIS pada tahun 2022.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara usaha dilaksanakan adalah menubuhkan Akademi AnIS selain memberi bantuan kewangan untuk menjayakan program Didik AnIS.


Pengarang :