Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman mengibarkan bendera sempena majlis penyerahan bendera kontinjen Selangor ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 8 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO sukan ketuai kontinjen, 30 wakil rakyat jadi bapa angkat pasukan SUKMA

SHAH ALAM, 8 SEPT: EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dilantik mengetuai kontinjen Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 dibantu Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Mohamad Zahri Samingon selaku timbalan ketua kontinjen.

Kedua-dua mereka menerima watikah lantikan daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis penyerahan bendera Kontinjen Selangor di Kompleks Generasi Muda & Sukan Selangor hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 30 Ahli Dewan Negeri (ADN) turut dilantik sebagai bapa angkat pasukan SUKMA yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September.

Antara wakil rakyat yang dilantik ADN Balakong, Wong Siew Ki, Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Rozana Zainal Abidin (Permatang), Mazwan Johar (Sungai Ramal) dan Lim Yi Wei (Kampung Tunku).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menyerahkan watikah sukan angkat kepada wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei (kanan) sambil disaksikan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman sempena majlis penyerahan bendera kontinjen Selangor ke Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 8 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut menerima watikah lantikan ialah 12 pihak berkuasa tempatan dan enam anak syarikat Kerajaan Negeri antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) .

Amirudin memaklumkan bapa-bapa angkat dilantik berperanan membantu meringankan beban atlet-atlet dalam menguruskan isu luar jangka.

“Mereka juga boleh melaporkan sekiranya berlaku sesuatu perkara yang kita tidak nampak. Semakin ramai individu dipertanggungjawabkan, insyaallah kita boleh mencapai kecemerlangan,” katanya.

SUKMA ke-20 yang sepatutnya berlangsung di Johor dari 6 hingga 14 Mac 2020 ditunda beberapa kali susulan pandemik Covid-19, sebelum diputuskan untuk dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara di Lembah Klang mulai 16 hingga 24 September ini.


Pengarang :