SHAH ALAM, 24 SEPT: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa Jabatan Peguam Negara meneliti alasan penghakiman dan memfailkan rayuan terhadap keputusan kes rasuah Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketuanya Izuan Kasim dalam kenyataan memaklumkan tindakan segera perlu diambil jabatan berkenaan memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam dan rakyat.
“AMK Selangor mengambil pendirian dan menyeru rakyat untuk menghormati keputusan mahkamah berkaitan dengan 40 pertuduhan rasuah berkenaan sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapkan ke atas Ahmad Zahid,” katanya.
Izuan menegaskan pihaknya akan terus komited dalam usaha untuk memerangi rasuah, golongan kleptokrat serta segala bentuk penyelewengan demi kemaslahatan tanah air yang tercinta.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan bekas timbalan perdana menteri itu daripada semua pertuduhan rasuah berkaitan VLN.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, di akhir kes pendakwaan.