EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman (tengah) menyerahkan cek cura bernilai RM10,000 kepada Penasihat Badan Kebajikan Bekas Perajurit Sungai Buloh Zainuddin Kasah (dua, kanan) sempena Majlis Menghargai Jasa Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, Shah Alam pada 24 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor sumbang RM10,000 hargai pengorbanan veteran ATM

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri menyumbang RM10,000 kepada Badan Kebajikan Bekas Perajurit Sungai Buloh sebagai tanda penghargaan atas jasa dan bakti memelihara keamanan negara.

EXCO pembangunan modal insan berkata bantuan itu membuktikan keprihatinan pentadbiran negeri terhadap golongan terbabit selaras dasar Selangor Smart and Caring (SAC).

Mohd Khairuddin Othman mengakui nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) harus dibela berikutan banyak isu tular di media sosial yang menyentuh soal kebajikan golongan berkenaan sejak akhir-akhir ini.

“Antara keperluan kita berikan sumbangan ini supaya mereka mendapat pembelaan hidup yang lebih baik. Insya-Allah tahun depan kita akan serah RM20,000,” katanya selepas majlis menghargai jasa veteran ATM peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh di sini hari ini.

Dalam majlis itu Mohd Khairuddin menyerahkan cek cura kepada penasihat badan berkenaan Zainuddin Kasah sambil disaksikan Yang Dipertuanya Mejar Bersara Azmi Mohd.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas Majlis Menghargai Jasa Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, Shah Alam pada 24 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, seramai 300 ahli persatuan terbabit diraikan dalam acara yang bertujuan mengeratkan ukhuwah antara Kerajaan Negeri serta bekas perajurit.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga wakil rakyat kawasan terbabit meminta kerajaan persekutuan meneliti kemelut dihadapi veteran ATM supaya profesion ketenteraan tidak terjejas terutama dalam kalangan anak muda yang meminatinya.

Sementara itu, Azmi berkata sumbangan itu akan digunakan untuk pelaksanaan program pembangunan modal insan bertepatan dengan portfolio dipegang Mohd Khairuddin.

“Kita memang ada program seperti itu yang sedang dan akan dilaksanakan kerana kita mahu kelestarian hidup (bekas ATM) berakhir dengan kejayaan.

“Sebaliknya bantuan ini tidak digunakan untuk agih sumbangan kepada anggota memandangkan kita mempunyai dana sendiri bagi tujuan itu,” katanya.


Pengarang :