EXCO Sukan dan Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas Majlis Menghargai Jasa Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, Shah Alam pada 24 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

EXCO: Selangor puas hati pencapaian atlet dalam SUKMA

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri berpuas hati dengan pencapaian kontinjen Selangor yang berjaya membawa pulang 31 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang berakhir hari ini.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata biarpun gagal mencapai sasaran 40 emas atlet mempamerkan semangat juang tinggi untuk meletakkan Selangor pada kedudukan kelima daripada 15 negeri yang bertanding.

“Walaupun tidak berada pada kelompok tiga terbaik, saya tetap puas hati dengan (pencapaian) atlet kerana mereka sudah buat sehabis baik.

“Kita lihat banyak sukan mara ke final dan meraih gangsa, cuma mungkin ada sentuhan akhir sehingga tidak berjaya dapat emas,” katanya kepada pemberita selepas majlis menghargai jasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan mengadakan pascanilai dalam tempoh terdekat bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki pada masa akan datang.

“Walaupun SUKMA tahun ini tidak diambil kira daripada segi rekod, namun tetap melibatkan nama negeri, maka kita perlu buat ‘post mortem’ untuk mencari kesilapan.

“Kita kena tahu adakah faktor insentif, lapangan atau pembangunan sukan itu sendiri (yang menyebabkan Selangor jatuh tangga kelima) berikutan Selangor merupakan juara sembilan kali SUKMA mengikut sejarah,” katanya.

Berlangsung dari 16 September, SUKMA 2022 diadakan di sekitar Lembah Klang melabuhkan tirai hari ini menyaksikan Johor muncul juara buat pertama kali dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Penyandang juara, Terengganu yang diletakkan sebagai pilihan pula terpaksa berpuas hati pada kedudukan kedua menerusi 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa manakala Wilayah Persekutuan ketiga (55 emas, 68 perak dan 64 gangsa).

Selangor di tangga kelima mengumpul 31 emas, 55 perak dan 44 gangsa di belakang Sarawak keempat (32 emas, 42 perak dan 53 gangsa).

Sebelum ini, kontinjen negeri menyasarkan 40 emas, 40 perak dan 45 gangsa untuk edisi kali ini dengan menyenaraikan 490 atlet serta 75 jurulatih mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan dipertandingkan.


Pengarang :