Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah pada Jualan Ehsan Rakyat di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Berbaloi beratur panjang, jualan murah jimat belanja dapur

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

KLANG, 22 OKT: Barangan asas yang ditawarkan dalam Jelajah Ehsan Rakyat memenuhi keperluan harian isi rumah menyebabkan ramai ternanti-nanti program tersebut.

Pemandu e-panggilan Muhammad Zamri Muhamed Sihat, 42, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang membeli barangan pada jualan murah itu jika lokasi penganjuran dekat dengan rumahnya.

Muhammad Zamri Muhamed Sihat. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya tinggal di Meru, Klang, jadi jika berdekatan saya memang cuba pergi. Sebelum ini saya pernah beli di Seksyen 7, Shah Alam dan beberapa tempat lain kerana sangat menjimatkan.

“Saya boleh jimat kira-kira RM40 hingga RM50 dan sangat alu-alukan jika program ini diteruskan. Cuma jika boleh penganjur tambah kaunter jualan untuk cepatkan proses pembelian,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga Mohd Fairus Mohd Said, 42, berkata walaupun terpaksa beratur panjang ia berbaloi kerana barangan yang dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Mohd Fairus Mohd Said. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Semua orang nak barangan dapur murah, jadi kenalah usaha beratur. Ia memang sangat meringankan beban jadi tidak hairan jika ada barangan cepat habis terjual,” katanya.

Pada 25 September, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor membelanjakan RM12 juta untuk subsidi barangan keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat bagi meringankan beban.

Jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dilancar pada 30 Ogos lalu menawarkan barangan makanan asas pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Menerusi inisiatif tersebut, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Maklumat lokasi Jelajah Ehsan Rakyat juga boleh diperoleh dengan melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS

Orang ramai beratur seawal 7.30 pagi bagi membeli barangan asas murah pada Jualan Ehsan Rakyat meskipun cuaca hujan di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :