Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (tiga, kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Al Kauthar Eduqids Sdn Bhd Dato’ Bakhtiar Aliff Ibrahim (lima, kiri) selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan program pendidikan awal kanak-kanak di Dewan Senat kampus Unisel di Bestari Jaya pada 19 Oktober 2022. Foto Facebook UNISEL
AGENSISELANGOR

Kerjasama Unisel, Al Kauthar Eduqids perkasa program pendidikan awal kanak-kanak

SHAH ALAM, 22 OKT: Universiti Selangor (Unisel) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Al Kauthar Eduqids Sdn Bhd (Al Kauthar Eduqids) bagi memperkasa program pendidikan awal kanak-kanak di institusi itu.

Pengarah komunikasi korporat Unisel berkata menerusi kerjasama itu, Taman Didikan Awal Kanak-Kanak (Tadika) itu membantu menyediakan penempatan praktikum kepada pelajar Jabatan Pengajian Awal Kanak-Kanak.

“Al Kauthar Eduqids akan memberi keutamaan kepada alumni jabatan terbabit untuk menjadi guru dan pentadbir di pusat pendidikan di bawah kendaliannya.

“Unisel juga akan memberi kerjasama menjalankan kajian dalam membantu menyelesaikan masalah pengajaran berkaitan,” kata Hasril Abu Hassan dalam kenyataan.

MoU berkenaan ditandatangani Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman manakala Al Kauthar Eduqids diwakili Pengarahnya Dato’ Bakhtiar Aliff Ibrahim.

Mula bertapak pada 2013, Al Kauthar Eduqids merupakan tadika yang menumpukan perkembangan awal kanak-kanak.

Kini, pusat diasaskan alumni Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Unisel Datin Nor Fadilah Alias memiliki hampir 170 cawangan di seluruh negara.


Pengarang :