Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis pelancaran Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) Sungai Besar dan Sabak Bernam serta Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi (Paca) di Dewan Seri Bernam, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN Selangor mahu pastikan calon kawasan luar bandar menang

SABAK BERNAM, 15 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menumpukan kawasan luar bandar bagi memastikan calon mewakili parti itu memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jentera di kawasan Parlimen Sungai Besar dan Sabak Bernam harus diperkuatkan.

“Jika kita lihat pengaruh atau anggota yang datang ke pelancaran jentera HARAPAN kawasan berkenaan hari ini begitu bersemangat dan jumlahnya sangat memberangsangkan.

“Saya harap mereka akan terus bekerja dan mempunyai momentum berterusan untuk kita mencapai kemenangan,” katanya ditemui di Dewan Seri Bernam di sini hari ini.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan HARAPAN di Selangor sudah mencapai persefahaman berhubung calon di kerusi Parlimen.

“Kita sudah selesaikan pembahagian kerusi Parlimen sejak dari awal lagi namun ada satu atau dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Mengulas pembahagian kerusi DUN, Amirudin berkata perkara itu dijangka dapat diselesaikan memandangkan PRU15 tidak diadakan serentak dengan kerajaan Persekutuan.

“Kita mempunyai masa sehingga tahun depan bagi kerusi DUN untuk berbincang dan mencapai persetujuan dengan rakan komponen HARAPAN lain,” katanya lagi.


Pengarang :