Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Jeram di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan asas kembali esok di sembilan lokasi

SHAH ALAM, 25 OKT: Program Jelajah Ehsan Rakyat kembali diteruskan di sembilan lokasi lagi esok selepas rehat dua hari sempena sambutan Deepavali.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meneruskan program bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari bagi memenuhi permintaan orang ramai mendapatkan barang keperluan asas di bawah harga pasaran.

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih adalah Paya Jaras, Sementa, Semenyih, Pandan Indah, Hulu Kelang, Rawang, Kuang, Permatang dan Sungai Panjang.

PKPS akan ke lapangan dengan lori jualan menawarkan barangan dapur seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan) dalam program bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari itu.

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif itu bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :