Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin bergambar bersama penerima sumbangan Deepavali DUN Permatang di Taman Tiram Setia. Foto Facebook YB Rozana Zainal Abidin, ADUN Permatang
ADNSELANGOR

30 penduduk DUN Permatang terima sumbangan Deepavali Pekawanis

SHAH ALAM, 25 OKT: Seramai 30 penduduk India kurang mampu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menerima sumbangan wang tunai RM100 dan barang keperluan asas sempena Deepavali.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada penerima menyambut perayaan.

“Agihan dibuat di Taman Tiram Setia pada 18 Oktober lalu membabitkan 14 penerima dan pada 23 Oktober membabitkan 16 lagi penerima.

“Jumlah keseluruhan penerima adalah 30 orang. Semoga perayaan kali ini, semua dapat merayakannya dengan gembira,” katanya ketika dihubungi.

Rozana turut merakam ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhammad atas sumbangan yang tidak pernah terkecuali pada setiap perayaan.

Sempena Deepavali kali ini, Pekawanis memperuntuk 1,400 penerima sumbangan yang terdiri daripada ibu tunggal dan B40.


Pengarang :