SHAH ALAM, 21 OKT: Setiap pemimpin perlu memiliki sifat amanah, jujur dan ikhlas selaras ajaran Islam untuk membimbing masyarakat dan negara ke arah kebaikan.
Memetik khutbah Jumaat bertajuk Pemimpin dan Negara, pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa akan dibenci rakyat serta dikutuk Allah SWT.
“Pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri pasti akan dibenci oleh rakyat dan dikutuk oleh Allah SWT kerana boleh menjahanamkan negara.
“Rosaknya pemimpin maka rosaklah negara ibarat kata pujangga jika keruh air di hulu, maka keruhlah ia di hilir,” menurut khutbah tersebut.
Teks diterbitkan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor turut mengingatkan umat Islam supaya menjauhi amalan tidak bermoral dan berpegang pada prinsip nilai etika sejagat.