KUALA LANGAT, 28 OKT: Lebih 200 peluang pekerjaan tersedia kepada penduduk setempat melalui pembukaan Kilang Kertas 3 (PM3) GS Paperboard and Packaging (GSPP) milik Oji Holdings Corporation.
Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata projek bernilai RM1.2 bilion yang memulakan pengeluaran komersial awal April lalu bakal memberi kesan ekonomi kepada masyarakat.
“Sejak pengambilalihan GSSP pada 2010, Oji
meneruskan pelaburan di Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat produk berkaitan kertas, pembungkusan dan kertas terbesar dalam negara.
“Sehingga kini, Oji berkembang seiring ekonomi Malaysia dan mempunyai 18 lokasi perniagaan. Untuk kekal teguh dalam industri, kami membangunkan PM3 dengan menyediakan teknologi pembuatan kertas.
“Paling penting peluang kerja untuk masyarakat sekali gus membantu ekonomi mereka,” kata Hiroyuki Isono dalam sembah ucapan sempena pelancaran kilang terbabit yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Dalam pada itu, Hiroyuki memaklumkan PM3 merupakan projek jangka panjang yang dilengkapi teknologi terkini dan mampu mengeluarkan kertas berjisim ringan serta berkualiti.
“Pengeluaran kertas itu untuk menghasilkan kotak pembungkusan tanpa menjejaskan mutunya selaras hasrat GSSP memanfaatkan sumber semulajadi.
“Kualiti kotak yang dihasilkan daripada kertas ‘testliner’ dan ‘medium paper’ merupakan ciri-ciri dikehendaki pengguna kotak pembungkusan,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1873, Oji berkembang sebagai pengeluar pulpa, kertas dan produk berasaskan kertas bersepadu terkemuka dunia.