Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memakaikan jaket keselamatan kepada Bomba Komuniti ketika pelancaran kesiapsiagaan bomba Selangor berdepan monsun timur laut di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor ambil pengajaran Covid-19, utamakan rakyat dalam sebarang situasi

SHAH ALAM, 12 OKT: Keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen demi kepentingan rakyat berikutan banjir dijangka berlaku hujung tahun ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya mengambil pengajaran daripada situasi penularan Covid-19 pada awal 2020 dan merasakan rakyat perlu diutamakan berbanding perkara lain.

“Pengajaran penting yang kita dapat ketika pandemik Covid-19 adalah tetapkan kepada keutamaan. Lepas dapat pengajaran itu, jadi kita harus fokus kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memberi perkenan supaya DUN tidak dibubarkan seperti pembubaran Parlimen.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebaliknya mahu pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat.

Kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pada 5 Oktober, Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) memutuskan tiga negeri tadbirannya iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubar DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.


Pengarang :