Bendera parti memenuhi sepanjang jalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulai sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 11 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wanita HARAPAN lancar jentera PRU15 di Shah Alam Sabtu ini

SHAH ALAM, 12 OKT: Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) akan melancarkan iltizam dan jentera pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Sabtu.

Mengangkat tema Wanita Harapan Negara, ketua penerangannya berkata iltizam itu merangkumi perlindungan hak, jaminan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat.

“Pelancaran ini bakal menghimpunkan jentera Wanita seluruh Malaysia khususnya akar umbi sebagai barisan hadapan kemenangan HARAPAN dalam PRU-15.

“(Ia juga) menjadi wadah menggembleng kebangkitan rakyat menolak kebobrokan pentadbiran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” kata Soraya Salim dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata iltizam yang bakal dilancarkan Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menterjemah aspirasi dan kejituan wanita ke arah pemerintah bermaruah, adil dan inklusif.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Pada 5 Oktober, Majlis Presiden HARAPAN memutuskan tiga negeri tadbirannya iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubar Dewan Undangan Negeri jika PRU15 diadakan tahun ini.


Pengarang :