Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan menjelang hari pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika tinjauan di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri pada 11 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tambang menyusut dalam tempoh PRU15, tambah jadual penerbangan

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mendapati kebanyakan tambang penerbangan semasa tempoh perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menyusut selepas lonjakan awal berikutan pengumuman tarikh pilihan raya.

Mavcom dalam kenyataan hari ini berkata berdasarkan semakan tambang penerbangan domestik yang akan beroperasi dari 16 hingga 20 November (tarikh perjalanan penerbangan PRU15), purata tambang penerbangan domestik sehala merentasi semua syarikat penerbangan bagi laluan udara dalam Semenanjung ialah RM185.

Sementara itu, purata tambang penerbangan bagi laluan udara dalam Sabah dan Sarawak ialah RM188 dan RM296 bagi laluan udara antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata pemerhatian suruhanjaya itu menunjukkan syarikat penerbangan telah memperkenalkan promosi dan melancarkan diskaun bagi tambang penerbangan untuk memudahkan pengguna termasuk skim diskaun sedia ada khusus untuk pelajar bagi membantu pengundi muda keluar mengundi.

“Industri penerbangan telah menunjukkan sokongan bagi memudahkan pengundi menunaikan kewajipan mereka tanpa beban tambang penerbangan yang tinggi. Namun begitu, ianya boleh ditambah baik dan adalah penting untuk syarikat penerbangan memainkan peranan masing-masing untuk negara dalam tempoh kritikal ini.” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

Sementara itu, analisis Mavcom turut menunjukkan bahawa terdapat beberapa laluan udara sehala yang mempunyai tambang yang melebihi harga purata, justeru syarikat penerbangan digesa untuk menambah lebih banyak kapasiti di laluan-laluan berkenaan memandangkan permintaan yang tinggi semasa tempoh PRU15.

Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan, Mavcom juga komited untuk meluluskan semua permohonan laluan bagi tujuan PRU15.

Kenyataan itu turut memaklumkan semua syarikat penerbangan tempatan telah membuat perancangan untuk menambah penerbangan bagi PRU15 mulai bulan depan menggunakan sumber yang sedia ada termasuk 45 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke lokasi terpilih di Semenanjung.

Selain itu, 30 penerbangan tambahan telah dirancang ke destinasi terpilih di Semenanjung khusus bagi penerbangan yang beroperasi dari Subang dan 68 penerbangan tambahan untuk penerbangan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

“Malaysia Airlines turut mengatur pelan untuk meningkatkan kapasiti ke destinasi utama di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak menggunakan pesawat Airbus A330, terdapat penerbangan tambahan yang dirancang ke destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak di bawah program Perkhidmatan Udara Luar Bandar serta lima penerbangan tambahan antara Subang dan Seletar di Singapura,” katanya.

Mavcom akan terus bekerjasama bersama Kementerian Pengangkutan serta syarikat-syarikat penerbangan tempatan dan bertekad untuk memastikan pengguna dapat pulang mengundi sekali gus melaksanakan hak demokrasi mereka dengan lancar.

– BERNAMA


Pengarang :