SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan bas pelancongan dua tingkat Hop-On Hop-Off (HOHO) yang beroperasi mulai Januari.
EXCO pelancongan berkata inisiatif julung kali dijalankan itu bertujuan membangunkan produk pelancongan melibatkan laluan Sepang bagi fasa pertama.
Menurut Hee Loy Sian, bas yang beroperasi mulai 9.30 pagi hingga 10 malam melibatkan dua laluan iaitu pertama di Sungai Pelek pada Sabtu dan Cyberjaya (Ahad).
“Kita menyasarkan bas ini dinaiki oleh pelancong domestik dan antarabangsa terutama yang transit lama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersiar di kawasan sekitar Sepang sebelum meneruskan penerbangan seterusnya.
“Sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan kita akan memperluas lagi laluan bas ini terutama di Klang dan Petaling Jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) Tourism Selangor bersama LNH Tour & Transport Sdn Bhd bagi perkhidmatan bas pelancongan Hop-On Hop-Off (HOHO) di lobi Dewan Annexe di sini hari ini.
Orang ramai yang berminat untuk menaiki bas berkenaan boleh mendapatkan tiket menerusi www.selangor.travel dan aplikasi mudah alih Go Selangor atau agensi pelancongan di hotel atau KLIA.
Tiket yang ditawarkan bagi setiap laluan bernilai RM50 dewasa warga tempatan dan RM40 (kanak-kanak) manakala bukan warganegara RM80 (dewasa) dan RM70 (kanak-kanak).