Orang ramai mengambil gambar bunga api ketika Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Pakar: Subsidi bersasar, bantuan sara hidup perlu seiring

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Cadangan pelaksanaan pemberian subsidi bersasar jika dilaksanakan kelak perlu bersekali dengan bantuan sara hidup bersesuaian kepada kumpulan sasar dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pensyarah Perakaunan dan Tadbirurus Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata sekiranya subsidi bersasar dijalankan tanpa mekanisme lain seperti bantuan sara hidup, kadar inflasi dijangka kembali meningkat.

Beliau berkata perkara itu menyebabkan rakyat kurang berbelanja dan secara tidak langsung memperlahankan perkembangan perniagaan serta kurang aktiviti melabur susulan harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat akibat impak subsidi bersasar.

“Oleh itu, jika subsidi bersasar tersebut dilaksanakan bersama bantuan sara hidup, B40 akan mampu berbelanja seperti biasa. Tetapi mungkin M40 akan mengurangkan sedikit perbelanjaan harian mereka,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Razman berkata Belanjawan 2023 perlu dibentang semula dengan mengambil kira semua inisiatif daripada manifesto kerajaan perpaduan yang dianggotai pelbagai parti yang mempunyai manifesto tersendiri.

Orang ramai mendapatkan keperluan harian di sebuah pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama 14 hari ketika tinjauan pada 29 Mei 2021.
Foto BERNAMA

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya Dr Roza Hazli Zakaria berkata sekiranya penarikan subsidi dilakukan secara drastik dan menyeluruh, keupayaan pengguna untuk berbelanja akan terjejas selain kesan rantaian besar melibatkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam sektor lain.

“Kita pernah mengalami situasi ini beberapa tahun lepas apabila subsidi ditarik balik untuk minyak petrol, dan harga minyak meningkat kepada RM2.70. Ia menyebabkan kenaikan harga barangan lain dan menjejaskan keupayaan pengguna berbelanja,” katanya.

Bagaimanapun, Roza Hazli berkata sekiranya penarikan subsidi dilakukan secara berperingkat, dimulakan dengan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan gula, kesannya ke atas kuasa beli pengguna tidak besar.

Ini kerana barangan seperti itu mengambil bahagian yang kecil daripada belanjawan harian pengguna, katanya.

Roza Hazli turut berpendapat bahawa Belanjawan 2023 perlu diubah suai dan dibentangkan semula sekiranya penyelarasan subsidi tersebut direalisasikan.

“Ini kerana dalam belanjawan lepas, kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar untuk subsidi iaitu sebanyak RM55 bilion atau 11.3 peratus daripada jumlah belanja mengurus,” katanya.

Orang ramai keluar membeli barangan keperluan ketika tinjauan di sebuah pasar raya sekitar Kuala Lumpur pada 22 Mei 2021. Foto BERNAMA

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata walaupun terdapat kegusaran gologan M40 dan T20 mengenai akibat pemberian subsidi bersasar, beliau percaya mereka masih menerima manfaat melalui insentif lain yang disesuaikan untuk mereka.

“Saya rasa golongan itu akan bimbang pada awalnya, namun menyokong usaha ini setelah mengetahui kebaikan pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan perlu menbentuk satu dasar yang holisitik atau komprehensif dalam melaksanakan perubahan itu.

“Ini bukan satu tugas mudah namun ia harus dilakukan bagi melindungi kewangan negara dan membolehkan sumber dana negara digunakan untuk manfaat semua rakyat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mencerakin dan menelusuri semula kaedah pengagihan subsidi kepada subsidi bersasar dan memberi jaminan kepentingan pihak industri akan tetap diberi perhatian.

Beliau berkata ini bagi memastikan subsidi yang memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan pada masa ini, hanya dinikmati oleh pihak benar-benar layak.

-BERNAMA


Pengarang :