GOMBAK, 6 NOV: Setiap ahli Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor perlu melipat ganda usaha untuk mengekal kemenangan 20 kerusi atau lebih baik pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) .
Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari yakin gabungan itu mampu memenangi semua kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum 2018 berdasarkan sokongan rakyat dan sentimen semasa.
“Cuma kita perlu lipat ganda usaha untuk dapat jumlah itu, mungkin juga boleh tambah sedikit lagi kerusi.
“Ikut momentum sekarang, nampak boleh kekal 20 kerusi,” kata calon HARAPAN Parlimen Gombak itu ketika mengadakan lawatan ke Kampung Fajar di sini hari ini.
Amirudin mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli yang menjangkakan HARAPAN boleh menang 19 kerusi di Selangor.